dania ada baca 1 artikel ni..tertarik lak ngan artikel tu..nk tau apa die ?? haaa...ni die dania copy kan..korg baca la ye..
Apakah ciri-ciri yang patut dicari dan dipertimbangkan oleh seorang
wanita apabila dia ingin memilih calon suami? Berikut disenaraikan
ciri-ciri yang penting, berdasarkan turutan kepentingannya.
Pertama: Agama.
Ciri pertama yang mesti diperhatikan ialah agama calon suami.
Pastikan suami seorang muslim. Jika dia seorang bukan muslim, jemputlah
dia ke arah agama Islam. Pastikan sebab utama dia memeluk Islam ialah
kerana sayangkan Allah dan Rasulullah, bukan kerana sayangkan anda.
Jika calon memang beragama Islam, maka langkah seterusnya ialah
memerhatikan tahap keislamannya. Kita tidak mahu Islam yang biasa-biasa,
tetapi muslim yang berilmu, beriman dan beramal shalih.
Di sini calon suami bukanlah semestinya seorang ustaz berkelulusan
jurusan agama. Akan tetapi dia hendaklah orang yang menaruh minat kepada
Islam, berusaha untuk mendalami ilmu-ilmunya, rajin mengerjakan amal
shalih dan menjauhi perkara mungkar. Ini penting kerana suami
dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumahtangganya dari
api neraka. Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” [al-Tahrim 66:06]
Perkara penting untuk turut diperhatikan, jangan hanya harap suami
memiliki nilai agama yang bagus. Anda juga sebagai isteri mesti memiliki
nilai agama yang baik agar dapat memainkan peranan sebagai isteri yang
berilmu, beriman dan beramal shalih. Tidak dilupakan, sebagai isteri
yang dapat menasihati dan membetulkan suami. Ini kerana kaum muslimin
(lelaki) dan muslimat (perempuan) sebenarnya saling membantu antara satu
sama lain:
Dan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang
beriman, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain;
mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan
dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada
Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:71]
Kedua: Keluarga.
Ciri kedua yang perlu diperhatikan ialah sikap calon suami kepada
keluarganya, khasnya ibubapanya. Ini kerana Islam amat menekankan
seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Rasulullah bersabda:
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan
Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no:
1899]
Maka calon suami itu jika dia memiliki kefahaman agama yang baik akan
memastikan ibubapanya redha dan senang menerima anda sebagai bakal
menantu. Jika tidak, dia akan bercakap dengan penuh hikmah dan hormat
bagi menyakinkan ibubapanya menerima anda sebagai bakal menantu. Dia
tidak akan membelakangkan ibubapanya kerana anda, dia tidak akan
menderhakai ibubapanya kepada anda. Calon suami hendaklah pandai
memainkan peranannya di jalan pertengahan di antara ibubapanya dan anda
sebagai bakal isterinya.
Di antara ayah dan ibu, seorang anak hendaklah mengutamakan ibunya
berdasarkan sabda Rasulullah: “Sesungguhnya syurga terletak di bawah
tapak kakinya (ibu).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3104] Justeru
perhatikan bagaimana layanan calon suami terhadap ibunya kerana ia
memiliki kaitan yang amat kuat dengan bagaimana dia bakal melayan anda
sebagai isteri. Seorang anak lelaki yang melayan ibunya dengan penuh
keprihatinan besar kemungkinan akan melayan bakal isterinya dengan penuh
keprihatinan juga. Seorang anak lelaki yang mengabaikan ibunya besar
kemungkinan akan mengabaikan isterinya juga.
Ketiga: Ciri Kepimpinan.
Lelaki – yakni suami – ialah pemimpin dalam sebuah institusi
keluarga. Allah menyatakan tanggungjawab ini:
“Kaum lelaki itu adalah
pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”
[al-Nisa’ 4:36]
Maka hendaklah anda memerhatikan ciri-ciri kepimpinan calon suami
anda. Berikan dia satu senario dan perhatikan bagaimana dia membuat
keputusan. Berikan dia satu permasalahan dan perhatikan bagaimana dia
menyelesaikannya. Berikan dia satu perancangan dan perhatikan bagaimana
dia mengaturnya. Berikan dia satu amanah dan perhatikan bagaimana dia
bertanggungjawab ke atasnya.
Berkenaan ciri kepimpnan ini, hendalah diketahui bahawa kebanyakan
lelaki masa kini ketandusan ciri kepimpinan. Ini kerana kebanyakan
ibubapa mendidik anak lelaki dengan cara membiarkan mereka bermain di
luar rumah sesuka hati manakala anak perempuan dididik sikap
tanggungjawab menguruskan adik-adik dan pelbagai urusan lain. Hasilnya,
kebanyakan wanita bersikap dewasa dan bertanggungjawab manakala
kebanyakan lelaki bersikap “sesuka hati” dan tidak memiliki hala tuju
yang tertentu.
Berpijak atas sejarah pendidikan ini, maka janganlah mengharapkan
calon suami memiliki ciri kepimpinan yang baik. Boleh dijangkakan dia
lemah dalam bab ini, maka anda boleh memainkan peranan menyedarkannya
dari tidur yang lena. Berikan dia masa dan ruang untuk meningkatkan ciri
kepimpinannya.
Keempat: Kewangan.
Suami bertanggungjawab ke atas kewangan (nafkah) isterinya.
Rasulullah mengingatkan para suami: “Bertaqwalah kepada Allah berkenaan
isteri-isteri kalian….mereka memiliki hak di atas kamu, iaitu nafkah dan
pakaian pada kadar yang berpatutan.” [Shahih Muslim, no: 2137]
Perlu dibezakan, tanggungjawab kewangan suami ke atas isteri bukanlah
bererti suami mesti kaya. Tidak ada manfaat memiliki suami yang kaya
tetapi kedekut, suami yang berharta tetapi tidak memberi nafkah, suami
yang berstatus tinggi tetapi masih meminta duit isteri. Akan tetapi yang
penting lagi bermanfaat ialah suami yang sedar tanggungjawabnya untuk
memberi nafkah kepada isteri pada kadar yang dia mampu.
Perlu juga ditekankan, suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri
sekalipun isteri memiliki harta atau pendapatan sendiri. Suami tidak
boleh mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri yang
kaya atau berpendapatan, juga tidak boleh memaksa isteri mengeluarkan
belanja untuk menampung kewangan keluarga. Isteri dibolehkan
mengeluarkan belanja atas pilihan dirinya secara rela, bukan paksaan.
Kelima: Akhlaknya.
Ciri kelima yang tidak kurang penting ialah akhlak calon suami.
Rasulullah menekankan: “Sesungguhnya tidaklah sikap santun terdapat pada
sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap santun)
tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.” [Shahih Muslim, no:
2594]
Cara penampilan, kekemasan pakaian, arah pandangan, bahasa percakapan,
kesungguhan mendengar, kejujuran mengaku salah, rendah diri menerima
teguran, sabar terhadap apa yang tidak diingini, tenang dalam suasana
marah, senyum dalam suasana tenang dan tegas dalam suasana dizalimi,
semuanya adalah akhlak mulia yang perlu diperhatikan.
Jangan sekadar memerhatikan akhlak calon suami kepada anda kerana
lazimnya ia mestilah baik. Akan tetapi perhatikan akhlak dia kepada
orang lain seperti ahli keluarga, rakan kerja, peniaga buah dan pelayan
restoran. Dengan cara ini anda dapat bezakan sama ada akhlak baik yang
ditunjukkan calon suami kepada anda adalah tulen atau pura-pura.